Wednesday, December 24, 2008

Hidup untuk Hidup!! : Article 8

InsyaAllah, pada hari ini mari kita renungkan bersama artikel yang ditulis dan dikongsi oleh seorang sahabat saya di Malaysia. Mengingatkan kembali kepada diri apa yang ingin dicapai dalam kehidupan.Syukran & Mabruk Ya Akhi for the heart-touching article!! =)

Perjalanan ini sungguh memenatkan.

Apa tidaknya, makin ke hujung semakin sukar.

Sedangkan beban bertambah.Tanggungjawab semakin sarat.

Tetapi apakah ada pilihan selain meneruskannya?

Hidup selagi hidup.

Jangan mati sebelum mati.

HAKIKAT HIDUP

Sering diri diperingatkan, kalau ada masalah di tengah jalan… teruskan perjalanan.

Apabila yakin tujuan dan matlamat tidak sesat, soal kembali ke pangkal jalan tidak timbul. Ini jalan paling benar, walaupun jalan yang paling sukar. Inilah jalan yang paling singkat, walaupun terasa amat berat.

Hidup tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu.

Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik. Nafas dan aliran darah adalah modal untuk ibadah.

Susah dan payah adalah baja yang membina kematangan jatuh bangun diri menuju Allah. Sabar dan syukur adalah pelita hidup yang meliuk lentuk dipukul badai kehidupan.

Tidak gusar bersendirian. Tidak tersasar ketika kesunyian.

Katakan pada diri, ketika kau sepi sendiri, di sisimu sentiasa ada PEMERHATI.

Dalam sekolah kehidupan, sentiasa ada pelajaran yang ditempuhi. Sesetengah ilmu tidak boleh diajar, tetapi boleh dipelajari. Tidak ada guru tertentu, tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepanjang waktu.

Jika datang topeng kepura-puraan, itulah guru yang mengajar erti berhati-hati. Jika mampir bejana kejujuran, kau teguklah ilmu keikhlasan.

“Hidup tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu. Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik.”

“Dalam sekolah kehidupan, sentiasa ada pelajaran yang ditempuhi. Sesetengah ilmu tidak boleh diajar, tetapi boleh dipelajari. Tidak ada guru tertentu, tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepanjang waktu.

Jangan berubah pendirian, walau beralih pendekatan. Jadilah wajah yang satu di hadapan yang SATU.

Jadilah dirimu sendiri… insya-Allah kau akan sentiasa menjadi juara.

Tetapi jika kau berlakon, kau bertukar menjadi klon yang kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan bermuka-muka hanya untuk menempa nama.

Jangan berdiri di bawah teduh bayang-bayang orang lain hanya untuk digelar berjasa.

NIKMATI HIDUP

Bertatih dengan kaki sendiri adalah lebih mulia berbanding bersayap emas milik orang lain.

Jadilah raja dalam kerajaan diri yang menghirup udara kebebasan dengan kemerdekaan sejati. Mendongak tidak bongkak, mengalah tidak kalah.

Tidak ada istilah kalah, cuma kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan masa lampau setelah diperah segala pengajaran dan iktibar.

Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan masa kini. Menyesal itu bebal, kesal itu bekal.

Hiduplah seperti orang yang bersedia untuk mati. Insya-Allah, nanti kau akan terus hidup walaupun sesudah mati.

Justeru, banyak yang kau buat akan terus hidup selepas mati. Ingatkan diri selalu, bahawa hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya Hari Akhirat.

Sesungguhnya hidup sebelum mati adalah bekal untuk hidup selepas mati.

Katakanlah pada diri, hidup bukan sekali.

Jadi hiduplah selagi hidup…

kerana hidup ini hakikatnya untuk HIDUP!

Wallahua'lam

Thursday, December 18, 2008

Majlis Wida' BAKTI 2008


Patah tumbuh hilang berganti, itulah lumrah kehidupan, setiap yang bertemu pasti akan berpisah jua akhirnya. Namun seandainya persahabatan itu utuh kerana Allah, maka bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bagi meraikan kepulangan rakan-rakan yang bakal pulang ke tanah air 'for good', BAKTI akan mengadakan Majlis Wida', disertai dengan Bacaan Yassin, Doa Selamat dan Solat Hajat. Mudah-mudahan, kepulangan rakan-rakan ke tanah air sentiasa diberkati dan dipertemukan dengan kemudahan dalam segala urusan. Butiran lengkap Majlis Wida' adalah seperti berikut :

Tarikh
: 24 Disember 2008

Tentatif
: 8.10 Malam - Solat Maghrib Berjemaah
: 8.20 Malam - Bacaan Yassin dan Doa Selamat
: 8.40 Malam - Solat Hajat Berjemaah
: 9.00 Malam - Ucapan ringkas daripada pelajar

Tempat

: Surau Dewan Malaysia Sydney

Diharapkan agar semua penghuni Dewan Malaysia Sydney serta rakan-rakan yang lain dapat menghadiri majlis berkenaan. Semoga kehadiran anda memeriahkan lagi program kita pada hari itu. Perpisahan bukanlah beerti penghabisan, sebaliknya permulaan kepada sebuah kembara kehidupan yang baru dan lebih mencabar.

Wallahua'lam

Sunday, December 14, 2008

Erti disebalik hijab final part: Artikel 7


Sambungan dari part 2:
Annisa : apakah hakikat tudung ?

Isteri jiranku : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari selalu memandang lelaki yang bukan muhrim kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia sia ..sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu.. tulah hakikat tudung.
Annisa : mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung... mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?

Isteri jiranku : Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT.

sumber :http://www.iluvislam.com/v1/images/photoalbum/album_1/pembela-agama.jpg

Duhai nisa ..ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan..ketika ditiup sangkakala yang kedua, .pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan , ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan,

ketika ibu tidak mempedulikan anaknya , anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi , antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis..menangis kerana hari itu Allah SWT murka..


Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT di padang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab..Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung.. . . . Allah SWT .

Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.. Subhanallah .Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu "buta , tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain muhrimnya , wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT , wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"

Tak tahan airmata ini pun jatuh.semoga Allah SWT menerima adikku disisinya..Amin
Subhanallah ..saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam...

Credits to: www.muscom.iluvislam.com

Wallahua'lam

Friday, December 5, 2008

Kelas Bimbingan Iqra'


Al-Quran merupakan mukjizat dan Kalam Allah yang agung. Sangat beruntung bagi mereka yang membaca al-quran, apatah lagi beramal dengan isi kandungan Al-Quran.

Bersempena dengan cuti musim panas, BAKTI akan mengadakan kelas bimbingan bacaan Al-Quran, ataupun lebih dikenali dengan nama KBI(Kelas Bimbingan Iqra').

Kelas ini terbuka kepada semua kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah (lelaki mahupun perempuan). Antara objektif program ini adalah :

  1. Memberi pengajian dalam kaedah membaca Al-Quran
  2. Mengenal huruf-huruf, tanda baris, serta bacaan Al-Quran
  3. Mendidik minat kanak-kanak untuk membaca dan melazimi bacaan Al-Quran.
  4. Sebagai salah satu daripada aktiviti berfaedah yang dapat diisi sempena musim cuti.
InsyaAllah, butiran program adalah seperti berikut :

Hari : Setiap Sabtu dan Ahad
Masa : 9.00 - 10.00 pagi
Tempat : Surau Dewan Malaysia Sydney.

Tenaga pengajar terdiri daripada kalangan pelajar Malaysia yang menetap di Sydney. Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan dengan Kelas Bimbingan Iqra', bolehlah menghantar e-mail ke alamat baktisydney@yahoo.com.au. Atau boleh terus berhubung dengan individu-individu di bawah:

Muhammad Afiq bin Kamaruddin : 0430116136
Muhammad Faizan bin Ishak : 0401227996

Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bacalah olehmu semua akan al-Quran itu, sebab al-Quran itu akan datang pada hari kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafaat - yakni pertolongan - kepada orang-orang yang mempunyainya."
(Riwayat Muslim)

Wallahua'lam.

Al-Qalam Versi Aidiladha


Sekian lama menanti, akhirnya dengan kerjasama beberapa pihak, BAKTI berjaya menerbitkan Al-Qalam, Islamic Newsletter Malaysia Hall Sydney. Bertemakan Sambutan Hari Raya Qurban, sudah tentu isu yang diutarakan kali ini lebih merujuk kepada erti pengorbanan. Khususnya buat kita sebagai seorang musafir diperantauan. Pengorbanan yang dilakukan, meninggalkan keluarga, suami, isteri, mahupun sanak saudara di kampung halaman pastinya memeritkan. Namun, berkat doa dan tawakkal kepada Allah, jadikanlah pengorbanan ini sebagai sesuatu yang berharga...kutiplah butiran mutiara yang terdampar. Semoga pengorbanan ini tidak menjadi sia-sia.

Al-Qalam keluaran Hari Raya Aidiladha kini boleh didapati dengan memuat turun pdf file pada applikasi BOX NET yang terletak disebelah kiri web ini. Semoga bermanfaat membacanya.

Terima kasih kepada individu-individu yang telah banyak membantu BAKTI dalam menerbitkan Al-Qalam. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Wallahua'lam

Thursday, December 4, 2008

Sambutan Hari Raya Aidiladha 1429H





Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijadualkan tidak lama lagi, BAKTI dibawah naungan Kelab Dewan Malaysia Sydney akan mengadakan sambutan Hari Raya Aidiadha bertempat di Dewan Malaysia Sydney. Butiran-butiran program adalah seperti berikut:

HARI : ISNIN
TARIKH : 8 DISEMBER 2008
TEMPAT : DEWAN MALAYSIA SYDNEY (2A, ALISON ROAD, RANDWICK)
WAKTU : 7.00 PAGI

InsyaAllah, takbir raya akan bergema seawal jam 7.00 pagi manakala solat sunat Hari Raya dijadualkan bermula pada jam 7.30 pagi di bawah kendalian Ustaz Zuhir.

Sarapan pagi bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha turut disediakan sejurus selepas selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Ayuh kita memeriahkan sambutan berkenaan sambil mengambil ibrah(pengajaran) daripada sejarah peristiwa pengorbanan nabi ismail dan nabi ibrahim alaihissalam yang menjadi titik permulaan kepada sambutan ini. Sesunggunya pengorbanan itu sangat besar nilainya, apatah lagi seandainya kita mengorbankan sesuatu yang kita sukai demi mendapatkan rahmat daripada Allah Taa'la.

Jangan lupa, sampaikan hebahan ini kepada rakan-rakan anda yang lain juga..=)

Sekian, terima kasih

Muhammad Afiq bin Kamaruddin
Biro Kerohanian dan Pembangunan Insaniah Dewan Malaysia Sydney (BAKTI)

Wallahua'lam.

Jom Tidur: Supplication 2

Bayangkan, setelah seharian kita bekerja, tentunya kita perlukan waktu untuk beristirehat. Diciptakan malam oleh Allah buat kita, waktu yang lazimnya digunakan untuk tidur, bemesra bersama keluarga, mahupun bermujahadah kepada Allah.

Setiap yang kita lakukan akan terasa lebih manis dan bermakna seandainya disertai dengan keberkatan oleh Allah. Justeru, bagi kategori "Himpunan Doa" pada kali ini, BAKTI ingin berkongsi doa harian yang cukup mudah dan boleh diamalkan. Doa ketika hendak tidur serta doa bangun dari tidur. Berikut merupakan matan dan maksud doa tersebut :




Tidur merupakan proses "kematian yang sementara". Memandangkan tidur merupakan proses yang membuatkan kita "tidak berjaga", maka macam-macam perkara boleh berlaku. Baik dari gangguan syaitan, mahupun manusia. Maka apa penyelesaiannya, sudah tentu dengan DOA

Maka, perlunya kita untuk berdoa. Memohon pertolongan daripada Allah agar memberikan perlindungan tatkala kita tidur. Mohon dijauhkan daripada gangguan manusia mahupun syaitan. Mohon agar kita diberikan nikmat kehidupan pada keesokan harinya untuk menjadi seorang insan yang lebih cemerlang daripada sebelumnya.

Mudah kan doa ini? InsyaAllah, semoga kita dapat beristiqamah dalam mengamalkannya. Semoga bermanfaat.


p/s : BAKTI ingin berpesan kepada para pelajar, jangan tidur semasa kuliah...tak berkat baca doa ini kalau dibaca untuk tidur masa kuliah..=)

Wallahua'lam

Wednesday, December 3, 2008

Selamat Datang Zulhijjah : Artikel 6


Assalamualaikum. Sedar tak sedar, kita sudah masuk hari ke lima dalam bulan Zulhijjah. Bulan yang digandakan Allah kerahmatan dan barakah yang melimpah ruah. Pada bulan ini juga, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha sempena mengambil ibrah(pengajaran) daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tuntutan Allah. Yang mana di akhir kisahnya itu, Allah s.w.t telah menggantikan pengorbanan mereka dengan sesuatu yang lebih baik dan dinukilkan di dalam Al-Quran.


Terdapat banyak kelebihan dan amalan-amalan yang sangat dituntut bersempena dengan bulan zulhijjah. Lihatlah betapa pemurahnya Allah dalam mengurniakan kita peluang untuk melipat kali gandakan setiap amalan kita. Berikut merupakan amalan-amalan yang dituntut sempena bulan Zulhijjah khususnya pada 10 hari terawal zulhijjah :

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

Berikut merupakan antara amalan-amalan yang dituntut bersempena dengan kedatangan bulan zulhijjah. Sebahagian daripada artikel ini dipetik daripada blog ustaz Zaharuddin di link http://www.zaharuddin.net/content/view/219/72/

Jadi, usah tunggu lagi. Ayuh kita tingkat amalan dan ketaqwaan demi merebut ganjaran dan kebaikan yang diberikan Allah pada bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan ianya menjadi pemangkin semangat untuk kita terus menjadi seorang muslim mukmin yang sejati. Cemerlang kehidupan di dunia serta akhirat. InsyaAllah..



Wallahua'lam

Tuesday, December 2, 2008

Erti disebalik hijab part 2:Artikel 5


Sambungan dari part 1...

Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi......entah apa yang dah berlaku?

Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh...... lengan panjang pula tu...saya sendiri jadi bingung..bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib..ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah... saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri..tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunat nya..dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan..Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya..


Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di Kalimantan,kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah ( rumah saya di Madiun). Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik diberi kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.

Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang..hati berdebar-debar, tak dapat ditahan.....saya berlari masuk ke dalam rumah..saya lihat ibu menangis .. saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya........dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya"..air mata ini tak dapat ditahan lagi... Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari. Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai...hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini..Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu Khoiri..di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.

Butirannya seperti ini:

Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)

Annisa : aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari "mak cik.. wajah mak cik sangat muda dan cantik"

Isteri jiranku : Alhamdulillah ..sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati

Annisa : tapi mak cik kan dah ada anak enam ..tapi masih kelihatan cantik

Isteri jiranku : Subhanallah..sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak..siapakah yang boleh menolaknya?

Annisa : Mak Cik..selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung..tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak a da masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai..sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung.. pendapat mak cik bagaimana?

Isteri jiranku : Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan muhrim kita semuanya akan dipertanggung jawabkan dihadapan Allah SWT nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita ..

Annisa : tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok..

Isteri jiranku : Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami...




akan bersambung di episod terakhir..

Hubungi BAKTI

Sebarang komen yang membina, cadangan, kemusykilan tentang isu-isu semasa dan kerohanian, mahupun pertanyaan berkenaan kehidupan di Dewan Malaysia Sydney, Sydney dan Australia, salurkan melalui e-mail kami di baktisydney@yahoo.com.au InsyaAllah, kami akan berusaha untuk menjawab sebarang persoalan anda.