Wednesday, December 3, 2008

Selamat Datang Zulhijjah : Artikel 6


Assalamualaikum. Sedar tak sedar, kita sudah masuk hari ke lima dalam bulan Zulhijjah. Bulan yang digandakan Allah kerahmatan dan barakah yang melimpah ruah. Pada bulan ini juga, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha sempena mengambil ibrah(pengajaran) daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tuntutan Allah. Yang mana di akhir kisahnya itu, Allah s.w.t telah menggantikan pengorbanan mereka dengan sesuatu yang lebih baik dan dinukilkan di dalam Al-Quran.


Terdapat banyak kelebihan dan amalan-amalan yang sangat dituntut bersempena dengan bulan zulhijjah. Lihatlah betapa pemurahnya Allah dalam mengurniakan kita peluang untuk melipat kali gandakan setiap amalan kita. Berikut merupakan amalan-amalan yang dituntut sempena bulan Zulhijjah khususnya pada 10 hari terawal zulhijjah :

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

Berikut merupakan antara amalan-amalan yang dituntut bersempena dengan kedatangan bulan zulhijjah. Sebahagian daripada artikel ini dipetik daripada blog ustaz Zaharuddin di link http://www.zaharuddin.net/content/view/219/72/

Jadi, usah tunggu lagi. Ayuh kita tingkat amalan dan ketaqwaan demi merebut ganjaran dan kebaikan yang diberikan Allah pada bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan ianya menjadi pemangkin semangat untuk kita terus menjadi seorang muslim mukmin yang sejati. Cemerlang kehidupan di dunia serta akhirat. InsyaAllah..



Wallahua'lam

No comments:

Hubungi BAKTI

Sebarang komen yang membina, cadangan, kemusykilan tentang isu-isu semasa dan kerohanian, mahupun pertanyaan berkenaan kehidupan di Dewan Malaysia Sydney, Sydney dan Australia, salurkan melalui e-mail kami di baktisydney@yahoo.com.au InsyaAllah, kami akan berusaha untuk menjawab sebarang persoalan anda.