Thursday, December 18, 2008

Majlis Wida' BAKTI 2008


Patah tumbuh hilang berganti, itulah lumrah kehidupan, setiap yang bertemu pasti akan berpisah jua akhirnya. Namun seandainya persahabatan itu utuh kerana Allah, maka bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bagi meraikan kepulangan rakan-rakan yang bakal pulang ke tanah air 'for good', BAKTI akan mengadakan Majlis Wida', disertai dengan Bacaan Yassin, Doa Selamat dan Solat Hajat. Mudah-mudahan, kepulangan rakan-rakan ke tanah air sentiasa diberkati dan dipertemukan dengan kemudahan dalam segala urusan. Butiran lengkap Majlis Wida' adalah seperti berikut :

Tarikh
: 24 Disember 2008

Tentatif
: 8.10 Malam - Solat Maghrib Berjemaah
: 8.20 Malam - Bacaan Yassin dan Doa Selamat
: 8.40 Malam - Solat Hajat Berjemaah
: 9.00 Malam - Ucapan ringkas daripada pelajar

Tempat

: Surau Dewan Malaysia Sydney

Diharapkan agar semua penghuni Dewan Malaysia Sydney serta rakan-rakan yang lain dapat menghadiri majlis berkenaan. Semoga kehadiran anda memeriahkan lagi program kita pada hari itu. Perpisahan bukanlah beerti penghabisan, sebaliknya permulaan kepada sebuah kembara kehidupan yang baru dan lebih mencabar.

Wallahua'lam

Sunday, December 14, 2008

Erti disebalik hijab final part: Artikel 7


Sambungan dari part 2:
Annisa : apakah hakikat tudung ?

Isteri jiranku : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari selalu memandang lelaki yang bukan muhrim kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia sia ..sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu.. tulah hakikat tudung.
Annisa : mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung... mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?

Isteri jiranku : Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT.

sumber :http://www.iluvislam.com/v1/images/photoalbum/album_1/pembela-agama.jpg

Duhai nisa ..ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan..ketika ditiup sangkakala yang kedua, .pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan , ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan,

ketika ibu tidak mempedulikan anaknya , anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi , antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis..menangis kerana hari itu Allah SWT murka..


Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT di padang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab..Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung.. . . . Allah SWT .

Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.. Subhanallah .Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu "buta , tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain muhrimnya , wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT , wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"

Tak tahan airmata ini pun jatuh.semoga Allah SWT menerima adikku disisinya..Amin
Subhanallah ..saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam...

Credits to: www.muscom.iluvislam.com

Wallahua'lam

Friday, December 5, 2008

Kelas Bimbingan Iqra'


Al-Quran merupakan mukjizat dan Kalam Allah yang agung. Sangat beruntung bagi mereka yang membaca al-quran, apatah lagi beramal dengan isi kandungan Al-Quran.

Bersempena dengan cuti musim panas, BAKTI akan mengadakan kelas bimbingan bacaan Al-Quran, ataupun lebih dikenali dengan nama KBI(Kelas Bimbingan Iqra').

Kelas ini terbuka kepada semua kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah (lelaki mahupun perempuan). Antara objektif program ini adalah :

  1. Memberi pengajian dalam kaedah membaca Al-Quran
  2. Mengenal huruf-huruf, tanda baris, serta bacaan Al-Quran
  3. Mendidik minat kanak-kanak untuk membaca dan melazimi bacaan Al-Quran.
  4. Sebagai salah satu daripada aktiviti berfaedah yang dapat diisi sempena musim cuti.
InsyaAllah, butiran program adalah seperti berikut :

Hari : Setiap Sabtu dan Ahad
Masa : 9.00 - 10.00 pagi
Tempat : Surau Dewan Malaysia Sydney.

Tenaga pengajar terdiri daripada kalangan pelajar Malaysia yang menetap di Sydney. Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan dengan Kelas Bimbingan Iqra', bolehlah menghantar e-mail ke alamat baktisydney@yahoo.com.au. Atau boleh terus berhubung dengan individu-individu di bawah:

Muhammad Afiq bin Kamaruddin : 0430116136
Muhammad Faizan bin Ishak : 0401227996

Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bacalah olehmu semua akan al-Quran itu, sebab al-Quran itu akan datang pada hari kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafaat - yakni pertolongan - kepada orang-orang yang mempunyainya."
(Riwayat Muslim)

Wallahua'lam.

Al-Qalam Versi Aidiladha


Sekian lama menanti, akhirnya dengan kerjasama beberapa pihak, BAKTI berjaya menerbitkan Al-Qalam, Islamic Newsletter Malaysia Hall Sydney. Bertemakan Sambutan Hari Raya Qurban, sudah tentu isu yang diutarakan kali ini lebih merujuk kepada erti pengorbanan. Khususnya buat kita sebagai seorang musafir diperantauan. Pengorbanan yang dilakukan, meninggalkan keluarga, suami, isteri, mahupun sanak saudara di kampung halaman pastinya memeritkan. Namun, berkat doa dan tawakkal kepada Allah, jadikanlah pengorbanan ini sebagai sesuatu yang berharga...kutiplah butiran mutiara yang terdampar. Semoga pengorbanan ini tidak menjadi sia-sia.

Al-Qalam keluaran Hari Raya Aidiladha kini boleh didapati dengan memuat turun pdf file pada applikasi BOX NET yang terletak disebelah kiri web ini. Semoga bermanfaat membacanya.

Terima kasih kepada individu-individu yang telah banyak membantu BAKTI dalam menerbitkan Al-Qalam. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Wallahua'lam

Thursday, December 4, 2008

Sambutan Hari Raya Aidiladha 1429H





Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijadualkan tidak lama lagi, BAKTI dibawah naungan Kelab Dewan Malaysia Sydney akan mengadakan sambutan Hari Raya Aidiadha bertempat di Dewan Malaysia Sydney. Butiran-butiran program adalah seperti berikut:

HARI : ISNIN
TARIKH : 8 DISEMBER 2008
TEMPAT : DEWAN MALAYSIA SYDNEY (2A, ALISON ROAD, RANDWICK)
WAKTU : 7.00 PAGI

InsyaAllah, takbir raya akan bergema seawal jam 7.00 pagi manakala solat sunat Hari Raya dijadualkan bermula pada jam 7.30 pagi di bawah kendalian Ustaz Zuhir.

Sarapan pagi bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha turut disediakan sejurus selepas selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Ayuh kita memeriahkan sambutan berkenaan sambil mengambil ibrah(pengajaran) daripada sejarah peristiwa pengorbanan nabi ismail dan nabi ibrahim alaihissalam yang menjadi titik permulaan kepada sambutan ini. Sesunggunya pengorbanan itu sangat besar nilainya, apatah lagi seandainya kita mengorbankan sesuatu yang kita sukai demi mendapatkan rahmat daripada Allah Taa'la.

Jangan lupa, sampaikan hebahan ini kepada rakan-rakan anda yang lain juga..=)

Sekian, terima kasih

Muhammad Afiq bin Kamaruddin
Biro Kerohanian dan Pembangunan Insaniah Dewan Malaysia Sydney (BAKTI)

Wallahua'lam.

Jom Tidur: Supplication 2

Bayangkan, setelah seharian kita bekerja, tentunya kita perlukan waktu untuk beristirehat. Diciptakan malam oleh Allah buat kita, waktu yang lazimnya digunakan untuk tidur, bemesra bersama keluarga, mahupun bermujahadah kepada Allah.

Setiap yang kita lakukan akan terasa lebih manis dan bermakna seandainya disertai dengan keberkatan oleh Allah. Justeru, bagi kategori "Himpunan Doa" pada kali ini, BAKTI ingin berkongsi doa harian yang cukup mudah dan boleh diamalkan. Doa ketika hendak tidur serta doa bangun dari tidur. Berikut merupakan matan dan maksud doa tersebut :




Tidur merupakan proses "kematian yang sementara". Memandangkan tidur merupakan proses yang membuatkan kita "tidak berjaga", maka macam-macam perkara boleh berlaku. Baik dari gangguan syaitan, mahupun manusia. Maka apa penyelesaiannya, sudah tentu dengan DOA

Maka, perlunya kita untuk berdoa. Memohon pertolongan daripada Allah agar memberikan perlindungan tatkala kita tidur. Mohon dijauhkan daripada gangguan manusia mahupun syaitan. Mohon agar kita diberikan nikmat kehidupan pada keesokan harinya untuk menjadi seorang insan yang lebih cemerlang daripada sebelumnya.

Mudah kan doa ini? InsyaAllah, semoga kita dapat beristiqamah dalam mengamalkannya. Semoga bermanfaat.


p/s : BAKTI ingin berpesan kepada para pelajar, jangan tidur semasa kuliah...tak berkat baca doa ini kalau dibaca untuk tidur masa kuliah..=)

Wallahua'lam

Wednesday, December 3, 2008

Selamat Datang Zulhijjah : Artikel 6


Assalamualaikum. Sedar tak sedar, kita sudah masuk hari ke lima dalam bulan Zulhijjah. Bulan yang digandakan Allah kerahmatan dan barakah yang melimpah ruah. Pada bulan ini juga, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha sempena mengambil ibrah(pengajaran) daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tuntutan Allah. Yang mana di akhir kisahnya itu, Allah s.w.t telah menggantikan pengorbanan mereka dengan sesuatu yang lebih baik dan dinukilkan di dalam Al-Quran.


Terdapat banyak kelebihan dan amalan-amalan yang sangat dituntut bersempena dengan bulan zulhijjah. Lihatlah betapa pemurahnya Allah dalam mengurniakan kita peluang untuk melipat kali gandakan setiap amalan kita. Berikut merupakan amalan-amalan yang dituntut sempena bulan Zulhijjah khususnya pada 10 hari terawal zulhijjah :

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

Berikut merupakan antara amalan-amalan yang dituntut bersempena dengan kedatangan bulan zulhijjah. Sebahagian daripada artikel ini dipetik daripada blog ustaz Zaharuddin di link http://www.zaharuddin.net/content/view/219/72/

Jadi, usah tunggu lagi. Ayuh kita tingkat amalan dan ketaqwaan demi merebut ganjaran dan kebaikan yang diberikan Allah pada bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan ianya menjadi pemangkin semangat untuk kita terus menjadi seorang muslim mukmin yang sejati. Cemerlang kehidupan di dunia serta akhirat. InsyaAllah..



Wallahua'lam

Hubungi BAKTI

Sebarang komen yang membina, cadangan, kemusykilan tentang isu-isu semasa dan kerohanian, mahupun pertanyaan berkenaan kehidupan di Dewan Malaysia Sydney, Sydney dan Australia, salurkan melalui e-mail kami di baktisydney@yahoo.com.au InsyaAllah, kami akan berusaha untuk menjawab sebarang persoalan anda.